Parenting, Uncategorized

Pengalaman Bersalin Anak Pertama-Apa Ibu Perlu Tahu

baby-birth-born-

 

Menjadi sorang ibu buat kali pertama adalah saat paling indah bagi seseorang wanita.

Ketika ini semua perasaan bercampur baur.

Pertama kali merasai nikmat mengandung dan melahirkan adalah momen indah yang tidak dapat dilupakan oleh mana-mana wanita.

Sebab itu kelahiran bayi sulung begitu istimewa. Keterujaan melalui setiap episod kali pertama sebagai seorang ibu sangat mendebarkan.

Lepas melalui segala cabaran ketika mengandung, detik-detik menunggu bayi comel lahir daripada rahim sendiri adalah puncak kegembiraan bagi setiap pasangan suami isteri.

Saya juga mengalami kenangan yang sama seperti ibu-ibu yang lain. Pelbagai persiapan telah kami buat. Malahan untuk kelahiran anak pertama ini saya dan suami berkerjasama mengatur perjalanan proses bersalin supaya lebih lancar. Pengalaman bersalin anak pertama lah katakan.

Sebabnya berlakunya satu proses kelahiran ini hendaklah dilalui dengan ilmu yang betul. Itu prinsip yang saya pegang.

1# lmu tentang proses kelahiran. Sangat penting dalam melalui pengalaman bersalin anak pertama.

Sebab itu mengapa sebelum bersalin saya gigih menuntut ilmu tentang fisiologi badan saat melahirkan dan juga proses kelahiran bayi yang sebenar.  Ilmu yang penting untuk tahu ialah :

  1. Fasa kelahiran
  2. Gerakan bayi semasa kontraksi
  3. Teknik pernafasan semasa kontraksi
  4. Cara mengira sela masa kontraksi
  5. Proses melahirkan anak
  6. Intervensi perubatan semasa proses kelahiran

 

Bukan semata-mata mempersiapkan mental untuk menghadapi pengalaman bersalin anak pertama tapi juga bersiap dengan segala kemungkinan yang berlaku.

Pengalaman bersalin anak pertama saya bermula begini. Seperti biasa pada kandungan berusia 37 minggu 2 hari saya ditemani bersama suami membuat pemeriksaan antenatal dengan doktor yang bakal menyambut kelahiran anak kami nanti.

Alhamdullilah keadaan bayi sangat baik dan juga telah turun ke laluan pelvis. Maksudnya bila-bila masa akan bersalin.

Selepas balik daripada berjumpa dengan doktor. Saya dan suami menguji laluan jalanraya yang lebih dekat dan pantas untuk ke hospital.

 

bilik bersalin

2# Buat tinjauan hospital yang paling sesuai dengan keadaan ibu.

Kunci pilihan seperti servis hospital, keselesaan dan juga jarak hospital ke rumah. Jika mampu boleh pilih hospital swasta. Andai mahu dihospital kerajaan boleh pilih yang bersesesuaian. Biasanya hospital daerah kurang pesakit berbanding hospital besar. Ini jika kandungan kategori kurang berisiko seperti tag tag putih dan hijau. Jika tag merah pada buku pink biasanya  dihantar ke hospital besar.

Pada masa ini saya memilih untuk bersalin di Pusat Perubahan Ar Riduan di Ipoh. Walaupun jarak sedikit jauh dan perlu melalui lebuh raya serta bayaran yang sedikit tinggi.

Ada juga nasihat daripada ahli keluarga yang sarankan bersalin dihospital kerajaan. Ini atas jaminan kos yang lebih rendah berbanding hospital swasta dan faktor jarak yang lebih dekat.

Tapi atas faktor keselesaan untuk bersalin saya dan suami teruskan hasrat ini. Bagi saya keadaan bersalin yang tenang dan selesa itu lebih utama.

Sebabnya pada masa ini kesakitan yang dialami adalah kesakitan luar biasa yang tidak dilalui setiap masa.

Bukan bermakna hospital kerajaan tidak selesa, cuma ini lebih memudahkan suami dan ibu saya menemani ketika proses bersalin berlaku.

Seterusnya masa yang dinantikan telah tiba. Pada tarikh 25 Disember 2014 jam 3 pagi. Telah turun tanda darah.Anggapan saya mungkin disebabkan malam sebelum itu saya turun naik tangga semasa pergi ke The Store.

 

3# Kekal aktif pada waktu berlaku proses kelahiran dan kekal bertenaga .

Ini antara faktor mendorong berlakunya proses kelahiran lebih mudah. Pada masa itu kontraksi baru bermula dengan sela masa yang belum lagi kerap. Jadi saya masih boleh melakukan urusan rumah tangga seperti biasa.

Lagipun saya masih berada pada fasa pasif kelahiran dimana serviks mula menipis (efface) dan membuka (dilate) dengan perlahan disamping kontraksi yang tidak kerap. Sambil aktif bergerak saya juga memakan kurma bagi menambah tenaga serta banyak minum air supaya kekal hidrasi.

Pengalaman pertama menghadapi kontraksi memang memerlukan banyak tenaga saya.

 

barang newborn baby

4# Siapkan lebih awal beg keperluan bayi.

Ketika ini semua barang kelengkapan bayi telah disimpan lebih awal didalam kereta. Jadi tak risau sangat dah. Kemudian kira sela masa kontraksi dengan aplikasi yang boleh di muat turun di play store.

Masa ini saya cuma perlu fokus pada pernafasan semasa kontraksi dan juga pergerakan bayi. Pagi itu suami bertanya samada suami perlu tunggu dirumah atau pergi bekerja.

Saya meminta suami pergi bekerja sebabnya kontraksi tu masih boleh dikawal lagi. Sampai waktu tengah hari kontraksi dah semakin kuat, cuma sela masa kontraksi tu masih belum kerap.

Mengalah juga, telefon suami minta temankan di rumah. Akhirnya suami balik dan temankan saya dirumah melayan kontraksi. Sering orang perkatakan tempoh kelahiran anak sulung adalah lebih panjang berbanding anak yang lain.

 

Labor Positions

 

Memang diakui. Sampai petang pun tempoh kontraksi masih sama. Saya ketika ini terus mengaktifkan diri dengan senaman ringkas seperti squad sambil pegang dinding rumah dan juga berjalan didalam rumah. Ini bagi mempercepatkan proses kelahiran berlaku disamping melegakan sedikit sakit kontraksi yang dihadapi.

Sambil memantau pergerakan bayi yang masih aktif. Selepas maghrib itu, kontraksi semakin kerap. Jadi susah tiba masanya untuk bertolak ke hospital.

Setelah masuk ke lebuh raya. Ternyata sangkaan untuk sampai lebih cepat itu meleset. Berlalu kesesakan disebabkan tarikh itu adalah hari cuti sempena krismas.Suami dah mula mengelabah.

5# Bertenang dan jaga pernafasan.

Caranya dengan bernafas secara tarikan dan hembusan yang panjang. Saya masa ini cuba bertenang dan mengawal pernafasan. Pernafasan yang betul pada tempoh ini adalah sangat penting.

Saya tak boleh panik. Sebabnya bila ibu bernafas dengan baik, bekalan oksigen pada bayi juga tidak terganggu dan bayi juga akan akan rileks. Serta tidak mengalami fetal distress atau poor progress.

Kesesakan lebuh raya menyebabkan suami panik dan keliru. Sehinggakan suami bertanya pada saya arah simpang jalan ke hospital yang betul. Nasib baik masih boleh berfikir lagi masa itu. Sempat jadi penunjuk jalan.

Akhirnya sampai di hospital dalam jam 10 malam. Sebaik turun daripada kereta air ketuban terus pecah. Habis basah jubah yang dipakai.

Saya terus ditolak kedalam bilik pembedahan. Alat CTG dipasang diperut bagi memantau dengupan jantung bayi. Selepas diperiksa oleh doktor, bukaan dah 6cm.

Masa doktor menyebut 6cm tu, rasa macam nak melonjak hati kegirangan. Maksudnya tak lama lagi dah nak keluar dah si kecil ni. Pengalaman bersalin anak pertama yang sangat mengharukan.

 

bersalin anak pertama

6# Fahami proses dan intervensi perubatan yang akan dilalui semasa bersalin.

Masa ini kontraksi bertambah kuat. Bidan yang membantu meminta saya mengiring sambil membengkokkan kaki. Ini bagi mempercepatkan proses bukaan. Sementara menunggu bukaan penuh 10cm, doktor memberi gas entonox untuk disedut supaya saya dapat menahan rasa sakit bersalin. Tapi saya menolak dengan baik.

Alhamdullilah masih mampu untuk menghadapi rasa sakit bersalin.

Percayalah seorang wanita telah ada kekuatan untuk menghadapi kesakitan bersalin. Dengan ilmu yang betul proses kelahiran itu boleh dilalui dengan baik. Doktor dan bidan juga tak putus-putus melaungkan kalimah kebesaran “Allahu Akbar”.

Akhirnya setelah hampir sejam saya dibilik bersalin dengan beberapa kali gesaan. Berkat dorongan daripada suami , doktor dan bidan maka lahirlah bayi sulung yang suami dan saya nantikan selama ini. Mendengar tangisan pertama si kecil ini menghilangkan segala rasa sakit yang dilalui.

baru lahir

Lahir si kecil berhidung mancung. Seiras umi.

Setelah diazankan oleh suami, dengan berat 2.60 kg, nama Amin Arshad diberi. Pengalaman bersalin anak pertama ini menyebabkan saya dan suami teruja hingga tak tidur semalaman.

Pengalaman bersalin anak pertama yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Sudah pastinya setiap ibu turut mempunyai pengalaman bersalin anak pertama yang pelbagai kisah dan cerita.

Sudah pastinya ia memberi seribu memori mendalam pada seorang wanita yang bergelar seorang ibu pada saat kali pertama. Jadi persiapkan diri sebaiknya untuk melalui proses semulajadi yang telah Allah berikan pada anda.

Pengalaman bersalin anak pertama akan menjadi kenangan indah bila dilalui dengan ilmu. Positifkan fikiran .Kesakitan yang dilalui itu adalah satu nikmat didikan yang Allah beri kepada anda. Sebagai  persiapan awal untuk membesarkan amanah Allah. Iaitu seorang khalifah di muka bumi ini.

Usah khuatirkan perasaan dengan cerita-cerita yang menggambarkan bersalin itu proses menakutkan dan menyakitkan. Yakin dan positif. Insya’Allah . Anda akan laluinya dengan baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *